AKE nyatakan persetujuan ke Chelsea. FOTO Agensi
AKE nyatakan persetujuan ke Chelsea. FOTO Agensi
Agensi

London: Raheem Sterling sedang memuktamadkan perpindahan bernilai £45 juta (RM239.60 juta) ke Chelsea dengan Nathan Ake turut bersetuju untuk kembali ke Stamford Bridge.

Chelsea perlu berunding mengenai bayaran untuk Ake dengan Manchester City, namun pemain pertahanan itu bersetuju dengan syarat peribadi untuk kembali ke kelab yang ditinggalkannya lima tahun lalu.

City dipercayai mahukan sekitar £45 juta (RM239.60 juta) untuk Ake, iaitu yuran awal dipersetujui Chelsea untuk bayaran Sterling dengan nilai perjanjian tambahan melepasi £50 juta (RM266.22 juta).

Sterling dijangka menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan tambahan untuk tahun keenam bernilai lebih £300,000 (RM1.6 juta) seminggu yang menjadikan dia meraih pendapatan tertinggi di Chelsea selepas Romelu Lukaku dipinjamkan ke Inter Milan.

Chelsea terbang ke Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu untuk jelajah pramusim kelab itu dengan Sterling berkemungkinan bergabung dengan rakan sepasukannya yang baharu minggu depan menjelang perlawanan persahabatan pertama menentang kelab Amerika di Las Vegas.

Perpindahan Ake ke Chelsea itu didorong ketua jurulatih, Thomas Tuchel yang berminat untuk menandatangani pemain itu ketika dia bertanggungjawab di Borussia Dortmund.

Tuchel mendesak pemilik baharu Chelsea untuk menyelesaikan krisis pertahanannya dengan pengendali Jerman itu dipercayai mahukan tiga pemain baharu dalam posisi itu pada musim panas ini selepas kehilangan Antonio Rudiger dan Andreas Christensen secara percuma dan masih lagi berdepan keraguan mengenai masa depan Cesar Azpilicueta.

Selain Ake, Chelsea masih dalam rundingan mengenai pemain pertahanan Matthijs de Ligt, Presnel Kimpembe, Jules Kounde dan Kalidou Koulibaly.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 11:40 AM