STERLING belum mencapai prestasi terbaiknya bersama Chelsea, musim ini. FOTO Reuters
STERLING belum mencapai prestasi terbaiknya bersama Chelsea, musim ini. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pengurus Chelsea, Graham Potter menegaskan Raheem Sterling akan mengatasi masalah persembahan buruknya menjelang Piala Dunia kerana pemain sayap England itu sudah membuktikan kualiti terbaiknya pada tahap tertinggi.

Sterling bergelut sejak menyertai Chelsea dari Manchester City pada hujung musim lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu hanya menjaringkan dua gol sejak ketibaan Potter pada 8 September bagi menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat dan gagal bermain dengan baik ketika Chelsea tewas 0-1 kepada Arsenal, Ahad lalu.

Walaupun prestasinya semakin menurun, Sterling dijangka akan menjadi tonggak buat skuad kendalian Gareth Southgate apabila Piala Dunia berlangsung di Qatar, dua minggu lagi.

Potter yakin rekod baik Sterling akan memastikan dia kembali ke tahap terbaik tidak lama lagi.

"Anda boleh melihat reaksinya yang menunjukkan dia memang jujur," kata Potter menjelang pertemuan Piala Liga Inggeris antara dan Manchester City, awal pagi esok.

"Pemain melalui tempoh apabila ada perkara tidak positif dalam karier mereka dan kadangkala apa sahaja disentuh mereka seperti emas.

"Saya rasa anda tidak boleh menuding jari kepada individu. Pasukan gagal berfungsi seperti saya mahukan.

"Ia memberi kesan kepada individu dan Raheem adalah sebahagian daripada pasukan. Tugas kami adalah memperbaiki pasukan dan strukturnya.

"Saya tidak meragui kualiti dan kebolehan Raheem. Dia sudah terbukti antara pemain terbaik."

Sterling menjaringkan tiga gol untuk Chelsea sebelum kedatangan Potter, tetapi gol Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhirnya adalah ketika menentang Southampton pada 30 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 10:51 AM