STERLING masih mempunyai baki kontrak semusim bersama Manchester City. -FOTO AFP
STERLING masih mempunyai baki kontrak semusim bersama Manchester City. -FOTO AFP
Agensi

London: Chelsea meluahkan keyakinan bahawa mereka boleh mendapatkan penyerang Manchester City, Raheem Sterling musim panas ini selagi bayaran yang ditawarkan dipersetujui juara Liga Perdana untuk pemain itu.

Thomas Tuchel amat mengagumi Sterling dengan bos Blues itu percaya gaya penyerang itu lebih sesuai dengan Chelsea berbanding Romelu Lukaku yang akan dipinjamkan semula ke bekas kelab, Inter Milan musim depan.

Bagaimanapun City difahamkan menilai harga Sterling sehingga £60 juta (RM322.32 juta) walaupun pemain itu hanya mempunyai baki satu tahun dalam kontraknya di Etihad.

Sementara itu Chelsea percaya harga yang lebih berpatutan adalah lebih hampir kepada £35 juta (RM188.02 juta) yang mungkin dibayar oleh Bayern Munich untuk khidmat penyerang Sadio Mane.

Mane juga mempunyai baki 12 bulan dalam perjanjiannya di Anfield tetapi usianya 30 tahun, dua tahun dan lapan bulan lebih tua berbanding Sterling.

Sterling memenangi empat kejuaraan Liga Perdana, empat Piala Liga dan Piala FA bersama City selepas menyertai kelab itu pada musim panas 2015.

Pemain berusia 27 tahun itu sudah bermain 339 kali untuk juara liga itu, menjaringkan 131 gol.

Namun dia sering diketepikan dalam kesebelasan utama di bawah Pep Guardiola.

Pemain sayap England itu hanya bermain lima dari 12 perlawanan Liga Juara-Juara musim ini dan tidak digunakan oleh pengurus Sepanyol itu sebanyak sembilan kali dalam aksi Liga Perdana musim lalu.

Sterling memulakan kerjayanya bersama Queens Park Rangers sebelum berpindah ke Liverpool pada usianya 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 10:18 AM