MOSES (kiri) jaring gol tunggal Nigeria. -Foto AFP
MOSES (kiri) jaring gol tunggal Nigeria. -Foto AFP
AFP

YAOUNDE, Cameroon: Nigeria terselamat daripada asakan bertali arus Cameroon pada lewat permainan sebelum seri 1-1 awal pagi tadi sekali gus menghampiri kelayakan ke Piala Dunia Russia 2018.

Moses Simon meletakkan Nigeria di depan pada minit ke-30 dan pemain gantian Vincent Aboubakar menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 di Stade Ahmadou Ahidjo untuk mencetus kebangkitan tuan rumah.

Pendahulu Nigeria yang belum pernah kalah melonjak dengan 10 mata daripada empat perlawanan dalam Kumpulan B dan kemenangan ke atas Zambia di laman sendiri pada 7 Oktober depan akan memastikan mereka tampil kali keenam berturut-turut pada Piala Dunia.

Kehilangan dua mata di Yaounde menyebabkan Cameroon, yang mara tujuh kali pada pusingan akhir Piala Dunia, tersingkir kerana hanya juara kumpulan layak ke Russia dan mereka ketinggalan tujuh mata di belakang Nigeria dengan berbaki dua perlawanan.

Keputusan seri itu hadir tiga hari selepas Nigeria membelasah juara Afrika Cameroon 4-0 di Uyo - keputusan yang menyebabkan jurulatih Hugo Broos melakukan empat pertukaran pemain.

Antara yang digugurkan daripada kesebelasan utama penyerang Aboubakar dan pemain sayap Christian Bassogog, namun kehadiran mereka pada babak kedua melonjakkan permainan “Indomitable Lions” sekali gus menekan “Super Eagles.”

Nigeria mendedikasikan kemenangan itu kepada penjaga gol Carl Ikeme, yang bergelut dengan leukemia di England.

“Carl senantiasa dalam fikiran saya, semua jurulatih, pemain dan pegawai,” ujar jurulatih Nigeria dari Jerman, Gernot Rohr.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 10:19 AM