PENDUDUK melihat kesan kemusnahan disebabkan tanah runtuh di Mbankolo, barat laut Yaounde, pada 9 Oktober. FOTO AFP
PENDUDUK melihat kesan kemusnahan disebabkan tanah runtuh di Mbankolo, barat laut Yaounde, pada 9 Oktober. FOTO AFP
AFP

Yaoundé, Cameroon: Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh selepas hujan lebat menyebabkan lereng bukit yang menempatkan rumah penduduk di ibu kota Cameroon, Yaounde, runtuh.

Pasukan penyelamat masih mencari mangsa pada Isnin selepas tanah runtuh itu berlaku di daerah Mbankolo, barat laut Yaounde, pada petang Ahad.

Tanah runtuh kerap berlaku semasa musim hujan di bandar yang dihuni hampir tiga juta orang itu, di mana pondok sering didirikan di atas bukit-bukitnya.

Hujan lebat menyebabkan empangan yang mengandungi tasik buatan manusia yang terletak di kawasan yang lebih tinggi pecah, menurut penyiar awam CRTV dan seorang pegawai tempatan.

Saudara-mara yang tertekan menyaksikan mayat beberapa mangsa yang ditutup dengan cadar, dihalau oleh anggota bomba.

Dua wanita rebah ke tanah sambil menangis.

Sepasang penduduk tempatan yang kelihatan keletihan memegang apa yang dipercayai mayat dua kanak-kanak, lapor seorang wartawan AFP.

Pagar keselamatan disediakan untuk menghalang penonton dan media dari memasuki lokasi.

Tetapi imej yang disiarkan di TV menunjukkan keseluruhan bahagian bukit itu runtuh dan rumah di situ nampaknya dibina daripada kayu, bata tanah kering dan kepingan logam.

"Terdapat tanah runtuh selepas hujan lebat. Air menghanyutkan segala-galanya di laluannya," Daouda Ousmanou, seorang pegawai pentadbiran tempatan mengumumkan di radio awam.

Lautan lumpur memusnahkan kira-kira 30 rumah, menurut CRTV, yang menunjukkan imej pada waktu malam memaparkan air dan lumpur yang terus mengalir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 8:00 AM