SAFAWI bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan ke atas Laos. FOTO AFF
SAFAWI bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan ke atas Laos. FOTO AFF
Firdaus Hashim


Singapura: Penjaring hatrik negara, Safawi Rasid mengakui sokongan dan dorongan rakan sepasukan membolehkan dia kembali bangkit sekali gus membantu skuad Harimau Malaya melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Laos di Stadium Bishan, petang tadi.

Safawi, 24, meledak tiga gol masing-masing pada minit keenam, 34 dan 80, manakala satu lagi gol disumbangkan tonggak pertahanan negara, Shahrul Saad untuk melengkapkan hari gemilang buat Malaysia.

"Bagi saya sebelum ini saya tak pernah cakap yang saya bintang dan boleh semak temu bual saya sebelum ini. Rakan-rakan sepasukanlah buatkan saya kembali semula.

"Terima kasih kepada Allah. Syukur saya kembali menemui semula prestasi dan saya perlu terus tingkatkan permainan saya untuk aksi berikutnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dengan tiga gol dicetak Safawi, dia kini pendahulu penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol selepas turut menemui jaringan ketika aksi pertama menentang Kemboja menerusi kemenangan 3-1 Isnin lalu.

Dia kini berpeluang merebut Anugerah Kasut Emas yang kali terakhir dimenangi pemain negara pada kempen 2010 menerusi Safee Sali.

Malah, tahun berkenaan juga memori indah buat skuad Harimau Malaya yang menjulang Piala AFF buat pertama kali dan skuad kendalian Tan Cheng Hoe berpeluang membolot dua trofi iaitu Piala AFF dan Kasut Emas.

Hasil kejayaan mengutip tiga mata itu, skuad negara kini memimpin carta Kumpulan B dengan enam mata dan akan berdepan juara bertahan Vietnam di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 8:18 PM