SHAHREL (tengah) bakal menyarung jersi no 10 bersama Selangor. FOTO NSTP
SHAHREL (tengah) bakal menyarung jersi no 10 bersama Selangor. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Nombor 10 yang dianggap nombor keramat dalam pasukan Selangor akhirnya sah akan disarung penyerang baharu Red Giant, Shahrel Fikri sekaligus meneruskan legasi pemain-pemain terhebat negara sebelum ini.

Antara penyerang handalan yang pernah menggunakan nombor itu adalah legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari dan bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali.

Shahrel yang beraksi bersama pasukan Perak musim lalu sememangnya layak untuk diberi penghormatan itu dan buktinya apabila dia muncul penjaring terbanyak pemain tempatan musim lalu.

Malah, dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) Virtual 2020 juga turut menyaksikan dia dinobatkan selaku pemenang kategori penyerang terbaik sekaligus mengenepikan awang import.

Penyerang berusia 26 tahun itu sendiri berkongsi rasa teruja dan mengakui tidak sabar untuk membantu pasukan baharunya itu.

"Saya amat teruja," kongsinya di laman Story Instagram miliknya dengan menunjukkan jersi Selangor nombor 10.

Selain itu, mengulas mengenai latihan di minggu pertama yang berlangsung di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Shah Alam bermula Isnin lalu, bekas penyerang Nakhon Ratchasima di Liga Thailand itu menjelaskan dirinya sedikit gementar.

Namun dalam pada masa yang sama, Shahrel gembira selepas dapat berlatih bersama rakan pasukan dan barisan jurulatih yang baharu.

"Saya teruja dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru, jurulatih baru, pemain import baru dan kawan lama semasa latihan baru-baru ini.

"Walaupun saya rasa tak sabar untuk kembali berlatih, dalam masa yang sama saya sedikit gementar," katanya di laman Facebook rasmi Selangor FC.

Untuk rekod, ayam tambatan Harimau Malaya itu adalah antara empat muka baharu pasukan dengan selebihnya tonggak musim lalu.

Selain dirinya, pemain baharu Selangor adalah tonggak pertahanan dari Jerman, Tim Heubach, R Dinesh dan Nik Sharif Haseefy yang kedua-duanya sebelum ini beraksi buat pasukan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 2:21 PM