Sawafi meledak hatrik ketika berdepan Laos semalam. FOTO Ihsan FAM
Sawafi meledak hatrik ketika berdepan Laos semalam. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Singapura: Dua kemenangan berturut-turut dalam kempen Piala AFF akan menjadi titik tolak peningkatan permainan skuad Harimau Malaya yang menyasarkan untuk mara ke pentas final pada edisi ke-13 kali ini.

Keyakinan itu diluahkan pemain sensasi negara, Safawi Rasid yang percaya kejayaan memungut enam mata maksimum dalam Kumpulan B ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 adalah petanda positif buat pasukan.

Safawi, 24, yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol mahu momentum sama dikekalkan apabila Malaysia turun menentang Vietnam di Stadium Bishan, di sini, Ahad ini sebelum bertemu Indonesia di Stadium Nasional Singapura, pada 19 Disember.

Jelas pemain sayap yang memiliki tendangan padu kaki kiri itu lagi, dia mengingatkan agar rakan sepasukan tidak berasa selesa dan perlu bekerja lebih keras untuk aksi selepas ini.

"Kita dah tetapkan dalam kepala, kita akan buat peringkat demi peringkat. Kita tak boleh ambik benda ini (dua kemenangan awal) rasa selesa.

"Sebab kita ada perlawanan seterusnya. Kita akan teruskan dan akan meningkat dan meningkat," katanya yang meledak hatrik ketika menentang Laos semalam.

Sementara itu, pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengakui tidak pernah sangsi dengan keupayaan Safawi biarpun mengalami kemerosotan prestasi sepanjang musim ini.

Menurutnya, beliau sentiasa percaya dengan bakat yang dimiliki pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu dan berharap Safawi akan terus meledak.

"Sebagai jurulatih, saya percaya yang dia (Safawi) ada bakat dan keistimewaan serta seorang pemain berdisiplin dan komited dalam latihan.

"Sudah tentu sebagai jurulatih saya kena bagi dia peluang dan dia sudah buktikan yang dirinya salah seorang ikon di Malaysia.

"Dia perlu bekerja keras untuk kekalkan prestasinya, dan harap dia mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan," kata Cheng Hoe yang membawa skuad negara muncul naib juara pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 11:58 AM