REAKSI Tuchel (tengah) selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI Tuchel (tengah) selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel mengakui Chelsea berasa kecewa selepas Jorginho muncul penyelamat ketika seri 1-1 bertemu Manchester United awal pagi tadi sekali gus menebus kesilapannya yang membolehkan Jadon Sancho meletakkan pelawat di depan.

Skuad bimbingan Tuchel mendominasi perlawanan di Stamford Bridge tetapi ketinggalan selepas Jorginho gagal mengawal bola dengan baik yang menyaksikan Sancho memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol pada awal separuh masa kedua.

Jorginho bagaimanapun menebus kesilapan itu apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Aaron Wan-Bissaka mengasari Thiago Silva.

Ia sekurang-kurangnya menyelamatkan Chelsea selepas kerap mengasak kubu United dengan penjaga gol United, David de Gea cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya.

Chelsea yang tidak tewas sepanjang 11 perlawanan terakhir mereka di semua pertandingan, kekal menduduki tangga teratas Liga Perdana tetapi kini hanya mempunyai kelebihan satu gol berbanding Manchester City yang menewaskan West Ham pada perlawanan terdahulu.

"Saya gembira dengan prestasi setiap pemain. Kami mendominasi perlawanan sejak minit pertama. Kami sangat agresif dan tidak pernah berhenti untuk menyerang.

"Malangnya masing-masing dapat menjaringkan satu gol.

"United bertahan dengan baik. Kami harus menerima keputusan ini. Kami kecewa kerana berasakan mampu meraih keputusan lebih baik dan ia boleh berlaku dalam bola sepak," kata Tuchel.

United kini menduduki tangga kelapan dan ketinggalan 12 mata di belakang Chelsea namun keputusan itu sedikit sebanyak memulihkan semangat mereka selepas melalui tempoh yang sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 7:36 AM