SMITH Rowe meraikan jaringannya. FOTO AFP
SMITH Rowe meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

London: Arsenal menjejaskan impian Chelsea untuk menamatkan saingan di kelompok empat terbaik Liga Perdana selepas Emile Smith Rowe menghukum kesilapan dilakukan Jorginho untuk membantu Gunners meraih kemenangan 1-0 hari ini.

Jorginho melakukan kesilapan apabila melakukan hantaran ke belakang dan ia pantas disambar Smith Rowe pada awal separuh masa pertama di Stamford Bridge.

Tuan rumah di bawah bimbingan Thomas Tuchel mempamer aksi kurang memberangsangkan selepas itu sekali gus mengalami kekalahan ketiga sepanjang 26 perlawanan di kesemua pertandingan.

The Blues kekal di tangga keempat tetapi impian untuk layak ke Liga Juara-Juara pada musim depan menerusi tiket empat pasukan terbaik liga semakin terancam.

Mereka mempunyai kelebihan enam mata beranding pasukan tangga kelima, West Ham yang kurang satu perlawanan dan lebih tujuh mata berbanding pasukan tangga keenam, Liverpool yang mungkin menjadi ancaman utama kerana masih kurang dua perlawanan.

Aksi longlai Chelsea itu menjejaskan persiapan mereka untuk merangkul trofi pertama di bawah bimbingan Tuchel apabila bakal bertemu Leicester pada final Piala FA di Wembley, Ahad ini.

Tewas kali pertama sepanjang enam perlawanan liga, dua aksi terakhir Chelsea akan bertemu Leicester dan Aston Villa minggu depan.

Ia sekali gus menafikan hasrat Tuchel untuk merehatkan barisan pemainnya sebelum aksi final Liga Juara-Juara bertemu Manchester City pada 29 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 6:36 AM