JORGINHO muncul wira Chelsea. -FOTO EPA
JORGINHO muncul wira Chelsea. -FOTO EPA
AFP

London: Thomas Tuchel memuji 'pengorbanan' Jorginho selepas pemain tengah Chelsea yang cedera itu berjaya mengawal gementar untuk menyempurnakan sepakan penalti pada lewat perlawanan bagi memastikan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Leeds.

Pasukan Tuchel bangkit daripada dua perlawanan tanpa kemenangan sebelum ini terselamat daripada dimalukan di Stamford Bridge.

Leeds mendahului menerusi sepakan penalti Raphinha pada separuh masa pertama dan Chelsea menyamakan kedudukan hasil jaringan Mason Mount.

Jorginho yang bermain dalam kesakitan belakang yang berulang menjaringkan gol pertama dari dua penaltinya selepas rehat sebelum pemain remaja Leeds, Joe Gelhardt menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Pada penghujung saingan, Jorginho sekali lagi meledak penalti selepas Mateusz Klich mengasari Antonio Rudiger.

"Jorginho mengorbankan dirinya selama beberapa minggu. Saya sedar bahawa saat ini akan datang apabila dia menahan kesakitan kerana dia bermain dalam Liga Juara-Juara bersama kami. Euro dengan Itali dan kemudiannya aksi kelayakan Piala Dunia," kata Tuchel.

"Bukan hanya usaha fizikal daripadanya, tetapi juga memerlukan kekuatan mental.

"Dia tidak melalui pra musim dan kemudian memulakan Piala Super, jadi saya tahu dia akan sampai ke tahap dia merasakan kesakitan pada badannya dan tidak cergas sepenuhnya.

"Tapi Jorginho ialah Jorginho dan dia sedar situasi dilaluinya. Dan dia berkorban dirinya dan memberikan yang terbaik setiap hari.

Ia adalah kemenangan penting buat Chelsea selepas kekalahan mereka di liga utama kepada West Ham dan seri pada pertengahan minggu menentang Zenit Saint Petersburg dalam Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 8:33 AM