PHIL Foden.
PHIL Foden.
Reuters

KEBANGKITAN pemain remaja berpotensi seperti Phil Foden dan Callum Hudson-Odoi untuk melengkapkan skuad England yang semakin diiktiraf, menjadikan mereka pasukan pilihan selain Perancis untuk menjuarai Kejuaraan Eropah tahun depan, kata pemain Belgium Kevin De Bruyne.

Graduan akademi Manchester City, Foden membuat penampilan sulung kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris bersama-sama De Bruyne awal pagi Khamis, manakala pemain sayap Hudson-Odoi diberikan penampilhan penuh bersama Chelsea dan pemain Belgium itu kagum dengan bakat muda England.

CALLUM Hudson-Odoi.
CALLUM Hudson-Odoi.

“Saya memberitahu beberapa orang England seminggu lalu bahawa anda patut menang di Euro,” kata De Bruyne kepada media British.

“Saya fikir mereka adalah pasukan pilihan selain Perancis.

“Saya lihat mereka semakin diiktiraf dan dengan kedatangan pemain muda, masa depan nampak cerah.”

Tatkala Hudson-Odoi membuat penampilan sulung bersama England menentang Republik Czech dan Montenegro bulan lalu, Foden masih belum menerima panggilan dan De Bruyne melihat tiada sebab untuk pengendali England Gareth Southgate untuk mendesak pemain berusia 18 tahun itu ke kancah antarabangsa.

“Berikan dia masa,” katanya.

“Bukan kerana anda bermain beberapa perlawanan dan beraksi sebagai kesebelasan utama, anda terus menyertai pasukan kebangsaan. Jika Phil menunjukkan peningkatan, dia berpeluang ke Euro tahun depan, dan mempunyai banyak peluang bermain bersama England.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 12:30 PM