REAKSI kecewa barisan pemain England, John Stones (kiri), Jack Grealish dan Tyrone Mings selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI kecewa barisan pemain England, John Stones (kiri), Jack Grealish dan Tyrone Mings selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
Agensi

London: Ian Wright mengakui berasa malu apabila England sekadar seri 0-0 dengan Scotland pada saingan Euro 2020, hari ini.

Legenda Arsenal itu juga membidas pengurus, Gareth Southgate kerana mengeluarkan pemain yang menjulang Manchester City memenangi Liga Perdana, Phil Foden ketika berbaki 30 minit permainan.

Penyokong tuan rumah juga mengejek England selepas tamat perlawanan kerana keputusan itu menangguhkan hasrat mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati dan hanya akan diketahui selepas bertemu Republik Czech pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Penyokong terkejut selepas Foden yang dilihat mempamer aksi cemerlang dikeluarkan pada minit ke-63 dengan Jack Grealish menggantikan tempatnya.

Wright mempersoalkan keputusan Southgate itu selain turut tertanya-tanya mengapa Jadon Sancho sekadar memanaskan bangku simpanan.

"Foden tidak sepatutnya dikeluarkan pada perlawanan hari ini.

"Anda kemudian meletakkan Sancho di bangku simpanan. Dia menjaringkan 15 gol dan membantu mencipta 20 gol musim ini tetapi tidak diberi peluang langsung.

"Kita perlu mencipta peluang. Saya berasa sangat malu hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:01 AM