Bergson Da Silva (kanan) menjalani latihan bersama JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Bergson Da Silva (kanan) menjalani latihan bersama JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan merentas Laut Cina Selatan untuk berdepan Sabah FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas, malam esok memburu kemenangan bagi mengekalkan kedudukan teratas liga.

Pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto sukar untuk ditewaskan selepas dua aksi pasukan itu tidak mengalami kekalahan sebaliknya melakar kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC dan seri 0-0 dengan Kuala Lumpur City FC, baru-baru ini.

Katanya, pertembungan itu nanti tampak sukar buat JDT dan kesebelasan pemain yang akan diturunkan harus berwaspada corak permainan lawan dengan gaya permainan pantas apabila melakukan serangan balas.

"Kami akan menentang pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Mereka akan cuba beri tentangan sengit terhadap JDT seperti mana pasukan lain melakukannya apabila menentang kami.

"Perlu membuat persiapan yang lebih rapi kerana kami mahu meneruskan momentum kemenangan dan elak membuat kesilapan mudah yang boleh membuat pasukan lawan ambil kesempatan. Kami tidak boleh lagi keciciran mata.

"Biarpun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat, kami perlu fokus melebihi 100 peratus bagi membentuk taktikal ampuh malah akan ada beberapa pemain simpanan yang akan di bawa masuk dalam kesebelasan utama," katanya.

Mora menegaskan lagi, kecergasan pemain amat diutamakan dan proses pemulihan buat pemain selepas beraksi dalam jadual yang padat tidak menimbulkan masalah kerana mereka tahu kepentingan untuk berada di dalam keadaan fizikal mantap.

Beliau menambah buat ketika ini hanya Matthew Davies sedang menjalani proses pemulihan kecederaan dan belum pasti sama ada pemain itu akan diturunkan atau sebaliknya walaupun dia mula berlatih bersama rakan sepasukan.

"Meskipun jadual perlawanan begitu padat dan sukar bagi kami untuk beraksi dalam perlawanan yang dianggap seperti aksi `final' kerana perlu berdepan pasukan yang beraksi melebihi 100 peratus untuk tewaskan kami.

"Namun persiapan tetap diteruskan dan sebab itu kami mempunyai jurulatih kecergasan dan kelengkapan bagi proses pemulihan yang serba canggih malah semua itu dimanfaatkan oleh setiap pemain bagi kembali pulih sepenuhnya," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 6:46 PM