PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez sudah memulakan latihan ringan selepas pulih daripada kecederaan. -FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez sudah memulakan latihan ringan selepas pulih daripada kecederaan. -FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor

[email protected].my1

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) kemungkinan masih belum dapat menyenaraikan tiga tonggak utama apabila menentang Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan ketika ini hanya Shane Lowry dan Leandro Velazquez memulakan latihan ringan bersama pasukan tapi masih belum pasti sama ada dapat beraksi menentang Sri Pahang FC manakala Natxo Insa masih mengalami kecederaan.

"Belum pasti lagi saya akan menyenaraikan Leandro dan Shane kerana masih belum berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan saya sudah merangka strategi baharu untuk berdepan Sri Pahang FC malah pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama sudah memiliki minit permainan yang mencukupi.

"Jadi tidak timbul apa juga permasalahan untuk saya praktikkan corak permainan yang lebih ampuh apabila berdepan Sri Pahang FC nanti kerana saya tahu mereka juga akan turun habis-habisan bagi mencalar rekod tanpa kalah JDT.

"Selepas aksi menentang Sarawak United, kami mempunyai masa untuk pemain menjalani proses pemulihan dan juga saya dapat merangka perancangan taktikal yang lebih mantap kerana lawan kami nanti bukan calang-calang pasukan kerana Sri Pahang FC ada kualiti tersendiri," katanya.

Mora juga menyifatkan pemain tengah Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo amat licik dan mampu beri ancaman dengan gerakan berbahaya dan berharap barisan tengah JDT berwaspada dengan tipu helah pemain import dari Argentina itu.

Beliau juga menegaskan setiap kali pertembungan JDT menentang Sri Pahang FC bakal diwarnai dengan corak permainan pantas dan pasukan juga kerap memberi kesukaran buat skuad Harimau Selatan yang perlu beraksi lebih konsisten seandainya mahu mencipta kemenangan.

"Semua tahu setiap kali menentang Pahang, kami akan berdepan semangat juang tinggi dipamerkan oleh mereka tapi kami akan sentiasa bersedia untuk berdepan mereka kerana matlamat utama JDT bagi memastikan kemenangan dapat direalisasikan pada perlawanan itu nanti," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 1:35 PM