NATXO Insa (kiri) cuba melepasi kawalan Guilherme De Paula (kanan) pada sesi latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
NATXO Insa (kiri) cuba melepasi kawalan Guilherme De Paula (kanan) pada sesi latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Meskipun Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak semakin hampir menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, pengendalinya, Benjamin Mora tetap mahu bersikap berwaspada apabila berdepan PJ City FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Mora menegaskan skuad kendalian P Maniam agak liat untuk ditewaskan tatkala pemain pasukan itu begitu gemar bermain secara kompak di posisi tengah dan pertahanan dan ia menyukarkan barisan tengah dan serangan JDT melakukan percubaan yang mampu menghasilkan jaringan.

Apapun pengendali kelahiran Mexico itu lega selepas barisan pemainnya mendapat rehat yang mencukupi apabila tiada aksi sepanjang dua minggu bagi memberi laluan untuk pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melengkapkan jadual perlawanan yang tertunda.

"Sememangnya ia beri ruang kepada pemain untuk berehat seketika selepas mengharungi aksi kompetitif dengan jadual yang begitu padat dan kini kami kembali semula menjalani latihan bagi persiapan menentang PJ City FC.

"Untuk pertembungan ini ia amat penting bagi mengekalkan momentum kemenangan dan kami enggan keciciran mata tatkala pasukan seperti Terengganu FC, Penang FC dan Kedah mula mengekori.

"Setiap kali kami menentang PJ City FC ia merupakan aksi sukar yang perlu ditempuhi bukan sahaja pada musim ini malah ia berlarutan sejak beberapa musim kerana pasukan itu gemar bermain dengan corak kompak," katanya.

Bagaimanapun, Mora menuntut barisan pemain yang bakal diturunkan nanti kekal konsisten dan mahu mereka mengawal permainan seperti yang dilakukan ketika menang 3-0 menewaskan PJ City FC pada aksi 10 April lalu.

Tambahnya, untuk pusingan kedua pemain JDT harus lebih fokus pada perlawanan itu nanti memandankan PJ City FC yang kini menghuni tangga kesembilan liga bakal turun dengan permainan pantas dan turut akan melakukan serangan balas yang mampu mengejutkan JDT.

"Kami perlu tenang dan berhati-hati apabila berdepan pasukan yang gemar beraksi secara berlari dan ambil kesempatan dengan corak serangan balas pantas kerana kami tidak boleh terperangkap helah mereka yang boleh mengundang kecewa buat kami," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 4:44 PM