BARISAN pemain JDT sedang menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT sedang menjalani latihan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengakui faktor keletihan yang dialami pemainnya menjejaskan rentak permainan pasukan namun berazam untuk ketepikan masalah itu apabila menentang Nagoya Grampus pada aksi kelima saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam esok.

Malah beliau juga perlu membuatkan rombakan kesebelasan utama selepas kehilangan khidmat Shane Lowry, Matthew Davies, Aiman Ariff Hanapi dan Afiq Fazail yang mengutip dua kad kuning namun lega apabila kelibat Mauricio Dos Santos kembali menguatkan benteng pertahanan dan Leandro Velazquez menguatkan posisi tengah.

"Memang tidak dinafikan pemain begitu keletihan menempuh jadual yang padat, malah bukan itu sahaja kami perlu berada di hotel penginapan dan tidak dibenarkan keluar untuk beriadah dan hanya dibenarkan dari hotel penginapan ke pusat latihan, itu sahaja.

"Senario itu bukan mudah untuk minda setiap pemain yang mahukan ketenangan kerana ia nyata menganggu emosi mereka namun kita perlu menyesuaikan keadaan dan meneruskan latihan bagi persiapan berdepan kelab dari Jepun itu malah pemain harus lupakan faktor keletihan.

"Apa yang kami lalui walaupun hanya menang satu perlawanan namun corak permainan pada empat aksi lalu memuaskan apabila kami mampu beri saingan dan membuat pasukan lawan berdepan kesukaran sebelum menewaskan kami," katanya.

Mora berkata aksi menentang skuad bimbingan Massimo Ficcadenti tetap sukar selepas pasukan itu mengekalkan rekod bersih empat perlawanan tanpa kalah namun akan cuba sedaya upaya untuk mencuri mata dalam perlawanan itu nanti.

"Untuk saingan ACL walaupun kami sudah tiga musim beraksi, namun kami masih lagi menimba pengalaman berbanding kelab-kelab dari Jepun dan Korea Selatan yang sudah lama beraksi dalam saingan itu.

"Jadi kami kena bersedia dalam setiap perlawanan terutama Nagoya Grampus akan tampil agresif untuk mencari kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan 16 dan kami akan berusaha beri tentangan sengit," kata Mora.

Sementara itu, Velazquez yang akan kembali dalam kesebelasan utama selepas diketepikan ketika aksi menentang Pohang Steelers, Khamis lalu berazam untuk bangkit daripada kekecewaan dan mempamer aksi bertenaga.

"Ketika aksi pertama menentang Nagoya Grampus 22 Jun lalu, kami mampu mengimbangi kekuatan pasukan itu dan mereka agak sukar untuk mendominasi perlawanan malah hanya mampu jaringkan satu gol sahaja," kata Velazquez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:44 PM