BENJAMIN Mora. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BENJAMIN Mora. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menurunkan kesebelasan terbaik apabila membuat perhitungan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Pengendali JDT Benjamin Mora berkata, selepas mengharungi separuh akhir piala berprestij menentang Terengganu FC (TFC) dan layak dengan kemenangan 4-1 secara agregat, kini pemain JDT memberi sepenuh tumpuan bagi mengharungi 90 minit perlawanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim 2019.

"Pemain melalui proses pemulihan yang rapi selepas mengharungi kempen Piala Malaysia dengan jadual yang padat dan mereka juga tampak sudah bersedia untuk beraksi di pentas final dan saya jangkakan ia perlawanan sengit apabila berdepan skuad kendalian Bojan (Hodak).

"Siapa yang diturunkan dalam perlawanan akhir nanti, saya masih belum putuskan tapi apa yang boleh saya katakan JDT akan menurunkan barisan terkuat kerana ia hanya sekali perlawanan sahaja dan bukan timbal balik," katanya

Walaupun pengendali kelahiran Mexico itu enggan mendedahkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada aksi malam esok, bayangan skuad utama bakal menampilkan lima pemain import yang akan memperkuatkan skuad Harimau Selatan.

Tonggak pertahanan JDT, Mauricio Dos Santos dan Shane Lowry akan diturunkan sambil Leandro Velazquez akan beraksi di posisi tengah manakala Gonzalo Cabrera akan bergerak di posisi sayap kiri dan Bergson Da Silva akan yang sudah meledak tujuh gol sepanjang kempen piala berprestij akan mengemudi jentera serangan antara pemain import yang akan diturunkan.

Bagi memastikan gawang JDT tidak dibolosi, Mora bakal mempertaruhkan kapten Farizal Marlias dan di posisi bek kiri dan kanan, kelibat Corbin Ong dan Matthew Davies bakal beraksi di posisi berkenaan manakala Natxo Insa dan Afiq Fazail akan mengemudi posisi tengah sambil di sokong Ariff Aiman Hanapi yang akan beraksi di posisi sayap kanan.

Ditanya sama ada S Kunanlan yang beraksi konsisten ketika menentang TFC pada separuh akhir kedua, Jumaat lalu, Mora tidak mahu memberi kata putus sama ada pemain berusia 35 tahun berada dalam senarai kesebelasan utama.

"Saya tidak boleh umum lagi sama ada Kunanlan bermain atau tidak. Apapun saya suka dengan komitmen yang ditunjukkan dan dia sangat profesional malah kerap memberikan aksi terbaik setiap kali diberikan peluang turun ke padang," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 12:25 PM