ANUMANTHAN sah bersama KDA FC. FOTO Izzali Ismail
ANUMANTHAN sah bersama KDA FC. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain kebangsaan Singapura, M Anumanthan sudah bersedia menjadi pengganti kepada Shakir Hamzah bagi melengkapkan kuota pemain import Asean untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain kelahiran Singapura yang beraksi di posisi tengah dan bekas pemain Hougang United FC itu dilihat melaporkan diri untuk menjalani latihan bersama pasukan di padang latihan hari ini.

Difahamkan pemain berkenaan bakal menandatangani kontrak secara rasmi bersama KDA FC dalam tempoh terdekat selepas laporan kesihatannya selesai.

Ketika ditemui, Anumanthan melahirkannya penghargaannya bersama skuad Hijau Kuning.

"Berada di sini adalah satu penghargaan buat saya kerana Kedah pasukan yang besar dengan banyak rekod kejayaan. Saya berazam mahu memberi aksi terbaik untuk Kedah dan penyokongnya.

"Saya begitu teruja untuk bersama Kedah bagi menghadapi cabaran di Liga M musim ini dan berhasrat dapat membantu kedah meraih trofi kejuaraan disamping mahu melangkah sejauh mungkin," katanya.

Anumanthan dikatakan memiliki corak permainan seperti rakan senegaranya, Hariss Harun dan bakal membarisi bahagian tengah bergandingan dengan kapten, Baddrol Bakhtiar serta seorang lagi pemain import dari Lubnan, Rabih Ataya yang sah bersama Kedah.

Bekas pemain Hougang United ini juga sebelum ini menjadi rebutan beberapa kelab di Thailand, antaranya Muangthong United namun nekad memilih Kedah untuk bersama ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak yang pernah membimbingnya pada musim 2017 dan 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 11:26 PM