ANUMANTHAN menjalani latihan bersama skuad KDA FC pada awal Januari lalu. FOTO  Ikhsan KDA FC
ANUMANTHAN menjalani latihan bersama skuad KDA FC pada awal Januari lalu. FOTO Ikhsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) M Anumanthan kini terus meningkatkan persiapannya bagi memulakan aksi sulung bersama skuad Hijau Kuning dalam aksi Liga Malaysia dan Piala AFC untuk musim 2021 ini.

Sejak hampir sebulan berada di Kedah, bekas pemain Hougang United FC berusia 26 tahun ini dilihat semakin selesa dan terus bersemangat dalam meningkatkan lagi tahap keserasian bersama pasukan bimbingan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak.

Anumanthan yang bakal beraksi di ruang tengah adalah import kuota Asean dari Singapura yang menggantikan pemain pertahanan Shakir Hamzah, dan kini terus membina keyakinan serta persefahamannya bersama pemain tempatan dan empat pemain import yang lain seperti Kpah Sherman, Kipre Tchetche, Rabih Ataya dan juga Renan Alves.

"Musim ini, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat antara pencabar yang kuat, jadi kami sebagai pemain akan bersama-sama berjuang memastikan setiap perlawanan yang akan kami hadapi nanti dengan penuh semangat seperti perlawanan akhir.

"Saya percaya dengan usaha oleh semua rakan sepasukan, dan apa yang paling penting adalah kami saling mempercayai sesama sendiri. Ini akan membantu lagi kami untuk memberi saingan dengan lebih baik nanti." katanya melalui laman rasmi KDA FC hari ini.

Anumanthan juga melahirkan perasaan teruja dan bersemangat apabila mendapati dia bersama pasukan Kedah bakal bertemu bekas pasukan lamanya iaitu Lion City Sailors FC (LCSFC) (dahulu dikenali Home United FC) pada undian Piala AFC yang berlangsung Rabu lalu.

"Saya juga teruja apabila mendapati saya akan kembali bertemu kelab lama yang pernah saya wakili dahulu iaitu Lion City Sailors FC dalam Piala AFC untuk musim ini, dan ini pastinya satu cabaran untuk pasukan Kedah dalam aksi menentang mereka nanti.

"Cabaran kumpulan H pula dijangka sengit dalam aksi Piala AFC kali ini, namun dengan persiapan yang sedang kami lakukan, saya yakin kami dapat memberi saingan seperti yang dirancang.

"Berbekalkan semangat yang ada antara semua pemain kini, kami tekad dalam memberi usaha yang terbaik bukan hanya di peringkat Piala AFC sahaja, tetapi juga yang utama adalah pada aksi Liga Super yang dinantikan pada musim ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:35 PM