SHERMAN kekal bersama Kedah. FOTO Izzali Ismail
SHERMAN kekal bersama Kedah. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang sensasi Kedah, Kpah Sherman yakin gabungan pemain import baharu dan tempatan mampu melakar kejuaraan piala pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Dia yang tiba di Kedah semalam selepas menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di Kuala Lumpur berkata, kombinasi antara pemain import dan tempatan dapat memperkuatkan skuad Hijau Kuning.

"Saya sangat teruja kerana Kedah kini memiliki ramai pemain berbakat pada musim ini dan dengan kombinasi pemain baharu seperti Rabih Ataya dan M Anumanthan bersama pemain senior dan pemain muda yang lain, sudah pasti ia lebih menarik.

"Pihak pengurusan KDA FC dan jurulatih pula berusaha dengan gigih untuk mendapatkan pemain yang berkaliber dan diyakini mampu memberi saingan yang terbaik seperti diharapkan.

"Sudah pasti harapan saya pada 2021 ini adalah ingin mendakap piala bersama Kedah dan jika dilihat, pasukan ini adalah pasukan yang bagus dan mampu mencipta kejuaraan pada musim ini," katanya.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini sudah mengumumkan empat nama pemain importnya untuk musim 2021 bermula dengan Sherman sendiri, Kipre Tchetche, Rabih Ataya, Anumanthan dan terkini, Renan Alves yang juga dikatakan bakal diumum bersama Kedah.

Berkaitan Piala AFC, pemain kelahiran Liberia ini juga menanam hasrat agar skuad Kedah dapat mengambil peluang terbaiknya untuk mara dengan lebih jauh diperingkat Asia itu sekali gus mencipta langkah baharu di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap kita (KDA FC) dapat pergi jauh dalam saingan Piala AFC yang akan bermula nanti kerana sudah lama Kedah tidak beraksi dalam saingan ini dan penyokong pula nampak lebih bersemangat.

"Saya bersama rakan sepasukan tidak mahu mempersiakan peluang yang dimiliki ini dan kami mahu buat sehabis baik bagi merebut tempat terbaik dalam saingan itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 1:44 PM