ANUMANTHAN sudah menyertai sesi latihan. FOTO FB KDA FC
ANUMANTHAN sudah menyertai sesi latihan. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain kebangsaan Singapura, M Anumanthan kini sah bergelar pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemain kelab Hougang United FC (HUFC) berusia 26 tahun itu memenuhi kuota pemain import Asean baharu bagi menggantikan Shakir Hamzah yang beraksi selama dua musim bermula 2019 bersama skuad Lang Merah.

Dia yang tiba di Kedah sejak semalam sudah menyertai latihan bersama pasukan kendalian ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak di padang latihan pada sebelah petang.

"Kebolehan beraksi di beberapa posisi penting skuad Kedah menarik minat barisan kejurulatihan KDA FC untuk mendapatkannya.

"Selain mempunyai fizikal tubuh badan yang tinggi, pengalaman pernah bersama Aidil Sharin sewaktu di Home United sebelum ini akan membentuk persefahaman yang baik untuk musim 2021," kata kenyataan di Facebook KDA FC.

Sementara itu Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak turut gembira dengan proses kemasukan pemain import berkenaan yang selesai dimuktamadkan oleh pengurusan KDA FC.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan KDA FC yang bekerja keras bagi memastikan proses kemasukan pemain import dan tempatan pada musim ini dapat membentuk skuad yang mantap untuk Kedah.

"Rabih Ataya dan M Anumanthan juga dilihat sudah mendapat rentak keserasian mereka bersama pasukan Kedah yang dianggap sebagai sebuah keluarga besar,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 9:28 PM