ROBERT Lewandowski. FOTO AFP
ROBERT Lewandowski. FOTO AFP
AFP

Berlin: Thomas Mueller yakin rakan sepasukan di Bayern Munich, Robert Lewandowski mampu mengatasi rekod 40 gol liga semusim milik Gerd Mueller selepas penyerang Poland itu memulakan kempen dengan cemerlang.

Lewandowski kini meledak 10 gol dalam lima perlawanan liga Bayern.

"Apabila anda melihat betapa konsisten dia menjaringkan gol, kemungkinan itu ada," kata Thomas Mueller ketika ditanya sama ada Lewandowski mampu mengatasi catatan Gerd Mueller yang dilakukan pada musim 1971/72.

Bayern akan berkunjung ke Cologne yang menyaksikan Lewandowski meledak 12 gol dalam 13 perlawanan ketika menentang kelab bawahan itu.

Semua aksi Bundesliga berlangsung tanpa penonton susulan pengumuman kerajaan Jeman yang mahu membendung penularan pandemik koronavirus.

Selepas meledak kesemua gol ketika menewaskan Hertha Berlin 4-3, Lewandowski menjaringkan hatrik ketika membelasah Eintracht Frankfurt 5-0 hujung minggu lalu.

Lewandowski yang menjaringkan 55 gol dalam semua kejohanan musim lalu turut mencipta empat bantuan jaringan musim ini.

"Apa yang dilakukannya sekarang sesuatu yang istimewa,'' kata Mueller.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:39 PM