Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski
AFP

Berlin: Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski diundi sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Tahunan Jerman buat tahun kedua berturut-turut.

Bintang Poland berusia 32 tahun itu sekali lagi menjadi pemain pilihan untuk memenangi anugerah tahunan itu oleh majalah bola sepak Kicker, susulan undian yang dilakukan wartawan.

Lewandowski, yang menyamai rekod 49 tahun Gerd Mueller dengan meledak 41 gol Bundesliga semusim pada Mei lalu, menerima 356 daripada 563 jumlah undian.

"Saya sedar betapa besarnya penghargaan ini. Ia adalah sebab kepada kebanggaan dan kegembiraan buat saya, kerana jarang sekali memenangi gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik Tahunan di Jerman dua kali berturut-turut." kata Lewandowski.

Tempat kedua, Thomas Mueller dari Bayern Munich mengekori rapat dengan 315 undi, sementara ketiga milik Erling Haaland dari Borussia Dortmund, yang menerima 38 undian.

"Sudah tentu saya gembira kerana menjaringkan 41 gol dalam 29 perlawanan Bundesliga. Jumlah jaringan ini membuatkan saya berasa bangga dan sememangnya ia pencapaian luar biasa," kata Lewandowski, yang berehat tiga minggu pada penghujung Mac lalu kerana kecederaan lutut.

Sejak menyertai Bayern pada 2014, Lewandowski meledak 203 gol dalam 219 perlawanan.

Pada 2020-21, dia menjadi arkitek kepada kejuaraan ke-31 Bayern bagi Liga Jerman yang juga gelaran kesembilan Bundesliga berturut-turut.

Lewandowski menjaringkan lebih 500 gol buat kelab dan negaranya sejak memulakan karier.

Diundi Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2020, penyerang berbisa itu turut memenangi Kasut Emas saingan Eropah, menewaskan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:57 PM