AXELSEN tewas kepada Yu Qi semalam. FOTO ASWADI ALIAS
AXELSEN tewas kepada Yu Qi semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki nombor satu dunia, Viktor Axelsen memberi amaran kepada pemain lain dia tidak akan menunjukkan belas kasihan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Menurut penyandang pingat emas Olimpik itu, kekalahan di separuh akhir Terbuka Malaysia semalam, tidak membuatkannya mudah mengalah, sebaliknya menyebabkan semangatnya semakin membuak-buak untuk membuktikan masih pemain terbaik dunia era ini.

"Secara jujur, saya tidak rasa begitu selesa sepanjang minggu ini. Anda juga tahu pemain-pemain badminton tidak mendapat rehat yang cukup, terutamanya saya baru sahaja memenangi Jelajah Dunia Akhir buat kali kelima beberapa minggu lalu," katanya.

Jaguh Denmark itu terkandas di separuh akhir semalam selepas tewas kepada wakil China, Shi Yu Qi 12-21, 21-19, 17-21 di Axiata Arena.

"Berikan saya tempoh beberapa bulan selepas ini untuk menjalani latihan yang lebih lengkap. Saya akan tampil lebih menggerunkan pada Sukan Olimpik nanti," katanya yang juga juara dunia dua kali.

Untuk rekod, Axelsen adalah juara bertahan Terbuka Malaysia selepas memenanginya dua kali berturut-turut sebelum ini, namun kekalahan dialami meleburkan hasratnya menjadi pemain luar negara pertama melakar kemenangan hatrik.

Pada masa sama, pemain berusia 30 tahun itu tidak dapat melakukan persiapan dengan baik memandangkan baru sahaja pulih daripada kecederaan kaki sehingga menyebabkan dia menarik diri daripada Terbuka Denmark Oktober tahun lalu.

Axelsen berada pada landasan tepat untuk melangkah ke Paris berdasarkan kedudukannya selaku pemain nombor satu ranking kelayakan Olimpik.

"Selepas kecederaan kaki sebelum ini, sukar untuk saya melakukan persiapan seperti biasa. Jadi, masih jauh perjalanan untuk saya kembali berada pada prestasi terbaik," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 3:28 PM