VIKTOR Axelsen muncul pemain paling konsisten tahun ini dan diramal muncul juara Kejohanan Dunia di Tokyo, bermula 22 Ogos ini. FOTO ARKIB NSTP
VIKTOR Axelsen muncul pemain paling konsisten tahun ini dan diramal muncul juara Kejohanan Dunia di Tokyo, bermula 22 Ogos ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Lima pemain perseorangan lelaki termasuk jaguh negara, Lee Zii Jia diramal mampu muncul juara di Kejohanan Dunia, manakala wakil Denmark, Viktor Axelsen dikatakan paling konsisten untuk menggondol gelaran itu buat kali kedua selepas meraihnya di Glasgow pada 2017.

Menurut bekas perseorangan lelaki negara, Datuk Rashid Sidek, selain Axelsen dan Zii Jia, beliau turut menyenaraikan tiga lagi pemain iaitu Anthony Sinikusa Ginting (Indonesia), Lakshya Sen (India) dan Chou Tien Chen (Taiwan) sebagai pemain yang dianggap berpeluang untuk merangkul gelaran buat kali pertama.

"Bagi saya, Axelsen adalah pilihan utama kerana dia yang paling konsisten dalam kejohanan disertai sepanjang tahun ini.

"Jadi, peluang dia lebih tinggi berbanding pemain lain, namun tetap bergantung kepada persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Dunia kali ini," katanya.

Menurutnya, inilah masa terbaik bagi Zii Jia membuktikan kemampuan sebenar dirinya selepas dikritik sebelum ini.

"Saya percaya kritikan dilemparkan turut menjadi motivasi terbaik untuk dia menutup mulut pengkritik. Lagipun, dia memang sudah katakan sebelum ini yang dia fokus kepada Kejohanan Dunia dan sudah pasti persiapannya lebih berkualiti.

"Namun, bagi saya sekiranya bukan rezeki Zii Jia kali ini, tiada apa yang perlu dikesalkan selagi mana dia mempamerkan semangat juang tinggi dan saya percaya peminat boleh menerimanya," kata Rashid.

Tambahnya, mereka tidak boleh memandang mudah terhadap potensi dimiliki Ginting, Lakshya Sen dan Tien Chen kerana masing-masing ada kelebihan dan yang paling penting semuanya memburu kejuaraan dunia sulung.

Axelsen yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada di kelas tersendiri tahun ini apabila merangkul lima kejuaraan - Seluruh England, Kejohanan Badminton Eropah, Terbuka Indonesia, Masters Indonesia dan Terbuka Malaysia - daripada lapan kejohanan individu yang disertainya.

Zii Jia pula yang menerima kritikan selepas menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberikan fokus terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia merekodkan dua gelaran musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand.

Kejohanan Dunia akan bermula dari 22 hingga 28 Ogos ini dengan Zii Jia diundi berdepan Brice Leverdez di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 1:56 PM