MARIN buktikan kemampuan di Bangkok selepas muncul juara di Yonex Terbuka Thailand. FOTO EPA
MARIN buktikan kemampuan di Bangkok selepas muncul juara di Yonex Terbuka Thailand. FOTO EPA
AFP

Bangkok: Penyandang juara Olimpik, Carolina Marin meningkatkan peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan di Tokyo tahun ini selepas meraih kejuaraan Yonex Terbuka Thailand selepas menumpaskan pemain nombor satu dunia Tai Tzu Ying.

Sementara itu, walaupun mengalami demam, pemain pilihan keempat Viktor Axelsen dari Denmark berjaya meraih kejuaraan perseorangan lelaki selepas mengetepikan Ng Ka Long dari Hong Kong.

Marin dari Sepanyol yang berusia 27 tahun dan bekas pemain nombor satu dunia berjaya menggunakan kelebihan pukulan smash tajam, serta permainan bijak di jaring untuk mengetepikan lawannya.

Dia menjerit kepuasan selepas memenangi mata kejuaraan di set kedua sekali gus mencatat kemenangan 21-9, 21-16 dalam tempoh 42 minit.

"Saya mahu menunjukkan kepadanya dari awal bahawa saya memang sangat inginkan kemenangan," kata Marin.

Tzu Ying mengakui bahawa dia tidak dapat menandingi kepantasan Marin.

Axelsen pula berjaya meraih kejuaraan dalam tempoh 44 minit selepas mencatat kemenangan 21-14, 2114.

Beregu wanita Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu muncul juara selepas mengetepikan wakil tuan rumah, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-12.

Bagaimanapun, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai menebus kekalahan rakan senegara mereka dengan muncul juara saingan beregu campuran dengan mengalahkan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 10:23 PM