JUN HAO gembira kehadiran Chong Wei sebagai rakan sepelatih. -FOTO NSTP
JUN HAO gembira kehadiran Chong Wei sebagai rakan sepelatih. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao mahu 'menceduk' sebanyak mungkin ilmu daripada bintang legenda Malaysia apabila mereka menjadi rakan sepelatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) kelak.

Jun Hao yang juga juara Masters Kuala Lumpur 2023 berkata, sudah pastinya legenda terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei akan menurunkan ilmunya dalam usaha memperbaiki kualiti permainan wakil negara.

Katanya, barisan pemain negara memerlukan 'mentor' seperti Chong Wei untuk meningkatkan lagi kualiti permainan sekali gus meraih kejayaan positif pada penyertaan di kejohanan besar seperti temasya Olimpik.

"Mereka (legenda badminton) pernah menjadi antara pemain terbaik di dunia sekali gus sudah pastinya pengalaman dan ilmu dimiliki mampu meningkatkan corak permainan wakil negara.

"Walaupun mereka sudah lama bersara namun sudah pasti ada perkara yang akan dikongsi kepada pemain untuk memperbaiki corak permainan masing-masing.

"Jika betul mereka jadi rakan sepelatih di ABM sudah tentu saya tidak sabar untuk beraksi bersama pemain legenda itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bersedia untuk kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika khidmatnya diperlukan.

Namun kehadirannya bukan sebagai jurulatih tetapi rakan sepelatih kepada barisan pemain negara di ABM.

Selain Chong Wei turut akan berganding bahu menjadi rakan sepelatih di ABM adalah bekas beregu nombor satu negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Hal ini kerana, Boon Heong turut berkongsi perkara sama apabila memuat naik rakaman video menunjukkan mereka bergandingan menentang pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pada masa sama, mereka juga turut bermain menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 2:01 PM