V SHEM (kanan) dan Wee Kiong mampu bantu Chong Wei sumbang mata negara.
V SHEM (kanan) dan Wee Kiong mampu bantu Chong Wei sumbang mata negara.
KIEN Keat (kanan) dan Boon Heong beregu berpengalaman negara.
KIEN Keat (kanan) dan Boon Heong beregu berpengalaman negara.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selain Datuk Lee Chong Wei, Malaysia mampu mengharapkan dua pasangan beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk menyumbang mata buat negara pada kempen Piala Thomas dari 15 hingga 22 Mei ini.

Pendapat itu disuarakan oleh legenda beregu lelaki negara, Datuk Seri Jalani Sidek yang mempercayai kemampuan V Shem-Wee Kiong dan Kien Keat-Boon Heong untuk sama-sama membantu Chong Wei mencatat kemenangan buat Malaysia baik di peringkat kumpulan mahupun saingan kalah mati.

“Saya rasa kalau beregu pertama (V Shem-Wee Kiong) bekerja keras, tinggikan lagi ketahanan fizikal mereka juga mempunyai peluang untuk mencuri satu mata, begitu juga Kien Keat-Boon Heong,” katanya yang pernah menjulang Piala Thomas pada 1992.

Jelasnya, berdasarkan senarai pemain yang dinamakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di saingan Piala Thomas kali ini, kekuatan negara memang bersandarkan kepada Chong Wei, V Shem-Wee Kiong dan Kien Keat-Boon Heong.

“Mereka (pihak pengurusan) harus pandai menyusun jika ingin menang. Kita masih ada harapan (untuk mara lebih jauh) kerana kecuali China, Malaysia mempunyai potensi cukup besar.

“Paling penting ialah sentiasa mempunyai semangat sepasukan dan semua pemain harus bersama memikul beban untuk mara hingga ke final,” kata Jalani.

Bagaimanapun, beliau mengakui tuan rumah masih pasukan yang sukar digugat kerana mempunyai tiga pemain perseorangan berkualiti.

“Kalau jumpa China memang sukar, mereka juga mempunyai dua pasangan beregu yang bagus. Apa yang harus kita lakukan ialah bijak menilai kekuatan lawan dan paling penting bersatu.”

Selain Chong Wei, V Shem-Wee Kiong dan Kien Keat-Boon Heong, skuad Piala Thomas negara yang akan bertolak ke Kunshan esok turut dibarisi Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat (perseorangan) manakala satu lagi pasangan beregu ialah Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:50 AM