KIEN Keat (kanan) Boon Heong pernah menjadi pasangan nombor satu dunia pada 2007.
KIEN Keat (kanan) Boon Heong pernah menjadi pasangan nombor satu dunia pada 2007.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek masih yakin gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mampu menyinar kembali tambahan pula selepas mendapat tajaan lumayan.

Menurut bekas pemain beregu negara itu, jika dilihat dari usia mereka, kedua-duanya berupaya mencabar pasangan handalan lain jika kembali ke prestasi asal.

Kien Keat-Boon Heong mendapat suntikan semangat dari Seri Mutiara Sdn Bhd yang menaja mereka sebanyak RM2 juta selama dua tahun.

“Selepas mendapat penajaan ini, saya percaya mereka akan buktikan mereka masih layak menjuarai kejohanan antarabangsa dan mara ke Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya.

Jelasnya, Kien Keat, 29, dan Boon Heong, 27, memiliki pengalaman dan kesungguhan untuk meraih kejayaan membanggakan.

“Mereka sudah pasti akan buktikan kepada penaja. Ia juga satu tamparan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang masih gagal membentuk gandingan mantap setanding Kien Keat-Boon Heong.

“BAM perlu bekerja keras selepas ini dengan menampilkan pemain pelapis yang mampu mengambil alih tempat pasangan sedia ada. Ia terpulang kepada kebijaksanaan jurulatih (Pang Cheh Chang dan Jeremy Gan) kerana sebelum ini banyak eksperimen yang merugikan masa,” katanya.

Bagaimanapun, Jalani berkata, beliau tidak boleh membuat andaian sejauh mana gandingan Kien Keat-Boon Heong ini akan pergi selepas bergandingan semula.

“Secara kasar saya nampak mereka boleh menyerlah tetapi saya tidak boleh nilai hingga ke tahap mana.

“Mereka tidak boleh buang masa kerana menjadi pemain beregu bukannya mudah, perlu ada banyak rakan sepelatih dan sentiasa melakukan eksperimen mengenai corak permainan,” katanya.

Jalani percaya Kien Keat-Boon Heong bebas tekanan dan mampu membuktikan mereka masih bagus kerana memiliki keupayaan luar biasa.

“Saya juga masih yakin mereka mampu menjadi beregu lelaki terkuat negara kerana kita lihat kini dalam BAM tidak ada gandingan yang betul-betul mantap.

“Mereka ada peluang untuk mencatat keputusan memberangsangkan dan mengejutkan pasangan lain. Kini mereka sudah kembali seperti dulu,” katanya.

Kien Keat membuat keputusan meninggalkan BAM pada Februari tahun lalu, manakala Boon Heong mengambil keputusan sama pada Mac tahun ini.

Mereka pernah menjadi pasangan nombor satu dunia pada 2007 dan memenangi pingat emas Sukan Asia 2006 Doha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 8:33 AM