CHONG Wei gembira kalau kehadirannya boleh membantu pemain negara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
CHONG Wei gembira kalau kehadirannya boleh membantu pemain negara. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei bersedia untuk kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika khidmatnya diperlukan.

Namun kehadirannya bukan sebagai jurulatih tetapi rakan sepelatih kepada barisan pemain negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pemenang tiga pingat perak di temasya Olimpik itu berkata, ia adalah sebagai langkah untuk membalas budi BAM yang memainkan peranan penting sepanjang dia bergelar pemain.

"Ini cara saya untuk bayar balik apa yang pernah diberikan BAM kepada ketika menjadi pemain. Seperti yang saya sering katakan, tiada BAM tiadalah Chong Wei," katanya.

Barisan pemain utama negara ketika ini sedang dalam persiapan bagi menghadapi saingan musim 2024 dengan kejohanan pertama adalah Terbuka Malaysia yang dijadual bermula dari 9 hingga 14 Januari ini.

Maklum Chong Wei, perkara itu diusulkan oleh Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yang menghubunginya untuk memintanya hadir menjadi rakan sepelatih pemain negara.

Chong Wei tanpa berfikir panjang mengatakan persetujuan kerana sebelum ini dia pernah turun ke gelanggang bersama-sama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bagi menjalani latihan dengan pemain negara.

"Saya gembira kalau kehadiran saya boleh membantu pemain negara. Mungkin juga ia dapat meningkat motivasi pemain dan beri suasana berbeza.

"Kehadiran kami (Kien Keat-Boon Heong) juga boleh mencetuskan inspirasi untuk berkongsi pengalaman membantu pemain negara.

"Dalam latihan kita boleh buat tiga lawan dua atau dua lawan satu. Saya bergandingan dengan Kien Keat dan Boon Heong," katanya.

Tapi sama ada ia dilakukan lebih kerap atau tidak ia bergantung kepada permintaan jurulatih sendiri agar ia tidak mengganggu program latihan yang diaturkan.

Terdahulu Boon Heong turut berkongsi perkara apabila memuat naik rakaman video yang di saluran Youtube miliknya yang menunjukkan mereka bergandingan menentang pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Mereka juga turut bermain menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 7:33 PM