TZE Yong diundi berdepan Zii Jia di pusingan pertama Masters China, bermula esok. FOTO ARKIB NSTP
TZE Yong diundi berdepan Zii Jia di pusingan pertama Masters China, bermula esok. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui jadual di Masters China yang akan membuka tirai esok, kurang memihak kepada pemain negara.

Menurutnya, pemain terbaik negara terpaksa bertembung sesama sendiri di pusingan awal dan ini akan memberi sedikit impak dalam usaha memburu mata bagi menempatkan diri di ranking terbaik dunia, sekali gus mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Hasil undian itu agak bad luck (kurang bernasib baik) untuk Malaysia apabila pasangan beregu terbaik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa bertemu seawal pusingan pertama.

"Nasib sama turut dialami perseorangan lelaki apabila Ng Tze Yong perlu berhadapan dengan Lee Zii Jia di pusingan awal.

"Namun apabila bertemu di gelanggang, mereka perlu menunjukkan permainan terbaik dan siapa yang paling bagus untuk menempah laluan ke pusingan kedua," katanya.

Kali terakhir beregu lelaki negara itu bertemu sesama sendiri di Terbuka China dengan kemenangan memihak kepada Aaron dan Wooi Yik.

Bagi perseorangan lelaki, pentas final Terbuka Artik adalah kali terakhir mereka berentap dan rekod dua pertemuan sebelum ini lebih memihak kepada Zii Jia.

Selain itu, beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bakal perlu berhadapan dengan pilihan kelapan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong sementara beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadapi lawan dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 7:02 PM