ZII Jia ketika beraksi dalam acara berpasukan lelaki. FOTO ASYRAF HAMZAH
ZII Jia ketika beraksi dalam acara berpasukan lelaki. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Kekuatan mental dan keyakinan diri yang tinggi diperlukan oleh barisan pemain negara untuk meraih pingat dalam acara individu di Sukan Asia Hangzhou.

Sekali lagi, undian tidak begitu memihak kepada kem Malaysia terutamanya acara perseorangan lelaki apabila bekas juara Seluruh England, Lee Zii Jia akan sekali lagi bertemu bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada pusingan pertama.

Jurulatih Zii Jia ketika ini, Wong Tat Meng pernah berkhidmat selaku jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong selama setahun sebelum menyertai Pasukan LZJ.

Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann pula meninggalkan pasukan kebangsaan untuk menyertai Hong Kong bagi melatih pemain perseorangan lelaki negara itu.

Zii Jia perlu mempamerkan aksi terbaiknya terutamanya selepas apa yang berlaku di sekelilingnya.

Ka Long mungkin dua anak tangga di bawah Zii Jia apabila menduduki ranking ke-18 dunia tetapi rekod pertemuan 4-1 lebih memihak kepada bintang Hong Kong itu berbanding Zii Jia.

Malah dalam perlawanan menentang Zii Jia yang kali pertama dibimbing oleh Tat Meng di Terbuka Korea pada Julai lalu, Ka Long muncul pemenang selepas pertarungan tiga set perlawanan.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang mendapat bye di pusingan pertama akan berdepan tugas getir bertemu bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura.

Tze Yong, 23, mempunyai sedikit kelebihan dari segi rekod pertemuan dan sebelum ini pernah menewaskan lawannya kelahiran Pulau Pinang itu di Terbuka Jepun, Julai lalu.

Bagaimanapun, melihat kepada persembahan pemain perseorangan lelaki negara menerusi acara berpasukan minggu lalu, mereka dilihat tidak mampu memberi sebarang jaminan.

Dengan Zii Jia dan Tze Yong tewas dalam perlawanan masing-masing, Malaysia gagal melepasi pusingan pertama apabila tewas 1-3 kepada Korea Selatan.

Sementara itu dua prospek pingat Malaysia iaitu bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah memperoleh undian yang lebih baik.

Aaron-Wooi Yik dijangka mudah mara ke suku akhir namun berkemungkinan akan berdepan penyandang juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung dari Korea atau gandingan tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada peringkat itu.

Pasangan negara itu sudah menewaskan gandingan Korea hanya beberapa hari lalu untuk memberikan Malaysia satu-satunya mata ketika tewas 1-3.

Pearly-Thinaah akan menentang beregu Singapura, Jin Yu Jia-Crystal Wong pada pusingan pertama dan dijadualkan menentang gandingan Thailand, Jonkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai pada pusingan kedua.

Pearly-Thinaah dijangka akan berdepan ujian getir di suku akhir di mana mereka berkemungkinan akan bertemu beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

Acara individu akan bermula di Gimnasium Binjiang, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 3:50 PM