ZII JIA mara ke separuh akhir selepas tewaskan Kenta Nishimoto. -FOTO AFP
ZII JIA mara ke separuh akhir selepas tewaskan Kenta Nishimoto. -FOTO AFP
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan perjuangan ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto straight set di Terbuka Denmark semalam.

Zii Jia yang masih segar dengan kejuaraan minggu lalu di Terbuka Arctic ternyata berada di prestasi terbaik untuk mencatat kemenangan 21-18, 21-18 dalam pertarungan selama 51 minit.

Menanti Zii Jia nanti Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong dan mengikut rekod pertemuan, ia tidak memihak kepada wakil negara itu apabila dua pertemuan sebelum ini memihak kepada Cheuk Yiu.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Soh Wooi Yik turut menepati ramalan untuk melangkah ke separuh akhir.

Tetapi ia bukan laluan mudah buat Aaron-Wooi Yik apabila perlu bertarung tiga set selama lebih sejam sebelum mengesahkan kemenangan ke atas wakil China, He Ji Ting- Ren Xiang Yu, 24-22, 18-21, 21-12.

Bekas juara dunia itu akan bertemu wakil tuan rumah, Kim Astrup- Anders Skaarup Rasmussen yang menewaskan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin- Teo Ee Yi dalam pertarungan tiga set 21-19, 11-21, 21-14.

Ini peluang terbaik untuk Aaron-Wooi Yik ke final dan menamatkan kemarau kejuaraan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 12:25 PM