RADHAKRISHNAN (tengah) bergambar bersama pemenang. FOTO Ihsan MIBA
RADHAKRISHNAN (tengah) bergambar bersama pemenang. FOTO Ihsan MIBA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton India Malaysia (MIBA) mensasarkan untuk menambah jumlah penyertaan kejohanan badminton anjuran persatuan itu pada tahun depan.

Presiden MIBA, Datuk N Radhakrishnan berkata, untuk kali pertama penganjuran kejohanan itu hari ini, ia berjaya menarik minat seramai 130 peserta, lebih daripada jumlah sasaran mereka.

"Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan, MIBA akan menambah jumlah penyertaan penganjuran selepas ini. Ia termasuk membuka penyertaan kepada kaum lain selepas penganjuran kali pertama ini khusus untuk kaum India sahaja.

"Untuk penganjuran kali pertama ini, kami pada mulanya mensasarkan seramai 100 peserta berumur 16 tahun ke bawah. Namun penyertaan yang diperolehi amat menggalakkan iaitu mencecah 130 peserta.

"Jadi selain membuka penyertaan kepada kaum lain, kami bercadang untuk menambah kategori umur agar pelbagai peringkat umur dapat menyertai kejohanan badminton anjuran MIBA.

"Penganjuran kali pertama ini juga adalah untuk acara perseorangan sahaja dan kami tidak menolak untuk menambah acara beregu pada penganjuran seterusnya," katanya.

Jelas Radhakrishnan, penganjuran kejohanan badminton itu adalah untuk mencungkil bakat pemain remaja khususnya kaum India bagi membuka peluang kepada mereka beraksi di pentas lebih tinggi.

Katanya sejak menggalas jawatan Presiden MIBA pada 2019, beliau mahu memastikan banyak program akan dianjurkan oleh pihak persatuan.

"Penganjuran kejohanan ini juga mendapat sokongan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:09 PM