Radha (kiri) bersama Rooben pada sesi penyerahan bantuan di Wisma UFL.
Radha (kiri) bersama Rooben pada sesi penyerahan bantuan di Wisma UFL.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton India Malaysia (MIBA) kini merangka jalinan kerjasama bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengorak langkah melahirkan lebih ramai pemain di negara ini.

Presidennya, Datuk V Radhakrishnan berkata, MIBA bersedia untuk memberi sokongan penuh kepada komuniti sukan badminton itu dari pelbagai peringkat termasuk akar umbi.

Katanya, sasaran utama MIBA adalah untuk terus menyokong pembangunan sukan badminton negara dan merancang rancangan strategik bersama BAM.

"Baru-baru ini timbul isu perkauman yang membabitkan pemain badminton negara daripada seorang ahli politik dan ia menimbulkan kemarahan rakyat dan semua lapisan masyarakat.

"Ia sepatutnya tidak berlaku kerana Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa dan keharmonian itu perlu dijaga nilai dan harganya.

"Ini kerana sukan tiada batasan malah ia menyatukan semua pihak dan marilah kita terus bersama-sama berganding bahu untuk terus menyemarakkan sukan badminton di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Radha memaklumkan MIBA membantu menyalurkan sokongan kepada bekas pemain kebangsaan V Rooben Raj yang akan melebarkan sayap sebagai pemain profesional ke Doha, Qatar.

Pemain kelahiran Kulim, Kedah itu sebelum ini pernah mendapat bimbingan jurulatih kebangsaan, Jeremy Gan, Cheah Soon Kit dan Rosman Razak.

"Saya gembira dapat berlatih bersama sebuah kelab di Qatar dan ia seperti mimpi menjadi kenyataan untuk saya terus melebarkan karier sebagai pemain badminton.

"Seperti semua pemain, saya juga mempunyai cita-cita untuk menjadi juara dunia satu hari nanti dan diharapkan ini adalah menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih gemilang selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:11 PM