RADHAKRISHNAN berjanji untuk memainkan peranan dalam membawa dodgeball ke tahap yang lebih tinggi di rantau ini. FOTO Ihsan UFL Malaysia
RADHAKRISHNAN berjanji untuk memainkan peranan dalam membawa dodgeball ke tahap yang lebih tinggi di rantau ini. FOTO Ihsan UFL Malaysia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persekutuan Dodgeball Dunia (WDBF) hari ini mengumumkan Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk N Radhakrishnan, dipilih sebagai Presiden baharu Persekutuan Dodgeball Asia (DBFA) selepas mengesahkan kemenangan tidak dijangka dalam pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

Sebelum ini 15 negara anggota DBFA menyertai pengundian dan menghantar e-mel dalam undian mereka kepada WDBF dalam gesaan khas agar badan dunia itu mengendalikan pemilihan secara persendirian atas nama bersih dan telus.

WDBF kemudiannya menjadualkan undian melalui prosiding sulit dan mengumumkan pemenangnya.

Selain Radhakrishnan, Setiausaha Agung MAD, S Dasataran juga dipilih untuk mewakili DBFA, atas kapasiti yang sama.

"Ini adalah penghormatan dan pengiktirafan yang besar untuk saya dan negara kita, Malaysia. Ia adalah pengesahan bahawa semua usaha yang dilakukan setakat ini tidak sia-sia.

"Saya berikrar dan selama-lamanya berjanji untuk memainkan peranan dalam membawa permainan dodgeball yang hebat ini ke tahap yang lebih tinggi di rantau ini," kata Radha yang secara rasmi dipilih ke kerusi Presiden MAD pada 2019.

Untuk rekod, Radhakrishnan bukanlah individu yang asing dalam arena sukan Malaysia apabila berkhidmat lebih 40 tahun dalam industri itu apabila kini berkhidmat turut sebagai Presiden Persatuan Badminton India Malaysia (MIBA) dan Timbalan Presiden Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Malaysia (MAGGA).

Selain itu, Radhakrishnan juga pernah menjadi Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia.

Dalam pada itu, WBDF dalam kenyataan yang sama turut mengucapkan tahniah kepada Radhakrishnan atas kemenangannya dan berharap dapat bekerjasama dengan beliau ke arah memartabatkan lagi sukan dodgeball di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 8:43 PM