Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Aida Adilah Mat


PENANTIAN untuk penganjuran kejohanan sukan kini berakhir apabila Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan aktiviti sukan, rekreasi bersentuhan fizikal dibuka semula.

Ia membabitkan sukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy dan sukan tempur (karate, silat, taekwondo) dimainkan bermula Rabu, 15 Julai 2020.

Serentak dengan itu, pengusaha padang komersil, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula pada tarikh yang sama.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan turut memaklumkan kebenaran penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton membabitkan sukan seperti permotoran dan sukan individu.

"Sukan tanpa sentuhan seperti perlumbaan permotoran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), litar tempatan yang lain, kejohanan badminton perseorangan, kejohanan catur dan lain-lain dibenarkan dibuka lebih awal.

"Tapi sukan bersentuhan fizikal (contact sports) seperti Liga Super, Liga Premier bola sepak (MFL), Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki (MHL), Liga Ragbi (MRL) bagaimanapun hanya dibenarkan bermula pada 15 Ogos," katanya.

Tarikh kuat kuasa 15 Ogos itu adalah bertujuan bagi memberikan sedikit masa kepada pihak penganjur membuat perancangan dan persiapan yang rapi dari segi latihan yang mencukupi untuk atlet, peserta, penyusunan logistik, persediaan premis, venue dan juga pematuhan kepada SOP.

Bagaimanapun, pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan yang terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan SOP Am Pengurusan, SOP Am Pra-Penganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi.

"Buat ketika ini penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara atau kejohanan tempatan saja. Ia perlu dilangsungkan tanpa penonton dan tidak membabitkan 'mass gathering' peserta.

"Penganjuran acara antarabangsa yang membabitkan peserta dari luar negara adalah tidak dibenarkan lagi buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:33 PM