Nurul Hidayah Bahaudin


KERAJAAN bersetuju membenarkan sukan bersentuhan fizikal untuk sukan berpasukan bermula 15 Ogos ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy.

"Mesyuarat khas juga bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton seperti Liga Super, Liga Premier bola sepak (MFL), Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki (MHL) dan Liga Ragbi (MRL).

"Bagi penganjuran pertandingan tempatan tanpa penonton bagi sukan tiada bersentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan sukan individu juga dibenarkan bermula Rabu ini.

"Selain itu, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal juga dibenarkan bermula 15 Julai ini membabitkan sukan berpasukan termasuk bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw dan sukan tempur seperti karate, silat serta taekwondo," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, semua pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Julai ini.

"Pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan prosedur operasi standard (SOP) am termasuk kawalan bilangan petugas serta pengguna dihadkan mengikut sesi dan keluasan premis.

"Selain itu, peralatan perlu dibersih dan dinyahkuman selepas setiap penggunaan selain menggalakkan pengguna membuat tempahan atau pengesahan slot dalam talian atau melalui telefon sebelum hadir ke premis," katanya.

Beliau berkata, semua SOP akan dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat untuk rujukan.

"Penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara atau kejohanan tempatan sahaja, tanpa penonton dan tidak membabitkan perhimpunan besar peserta.

"Penganjuran acara antarabangsa yang membabitkan peserta dari luar negara adalah tidak dibenarkan lagi buat masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 7:53 PM