Oleh Nurul Huda Kosnon

Kuala Lumpur: Tiga puluh penceramah antarabangsa termasuk daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat dan China serta 10 penceramah tempatan serta pengamal industri media sosial berkumpul berkongsi idea sempena Minggu Media Sosial 2015 (MSMW 2015), di Berjaya Times Square, 22-24 April ini.

Ucapan paling ditunggu adalah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyampaikan ceramah khas mengenai media sosial dan masa depan, 23 April.

Naib Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Chris Daniel Wong, berkata bekas perdana menteri itu akan tampil mengutarakan pandangannya mengenai media sosial, bermula 12.30 tengah hari.

"Penganjuran kali ini bertemakan 'Engage, Educate and Entertain' dan akan membimbing peserta bagaimana menggunakan media sosial dengan lebih berkesan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, malam tadi.

Chris berkata, tiga fokus utama bakal dibincangkan dalam Minggu Media Sosial 2015 iaitu kaedah menggunakan media sosial sebagai alat merangsang pertumbuhan pelbagai industri seperti pelancongan dan perniagaan, mengubah strategi pemasaran mengikut perubahan sosial media dan arus perubahan politik melalui media sosial.

"Seorang penceramah dari India yang juga Ketua Bahagian Teknologi Imformasi, Arwind Gupea akan berkongsi mengenai arus perubahan politik di India.

"Pihak kami mensasarkan 500 peserta peringkat antarabangsa mahupun tempatan untuk persidangan yang dijadual pada 22 dan 23 April dan 150 untuk bengkel pada 24 April. Kami juga kini menerima lebih 900 penyertaan dan ia melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum ini," katanya.

Katanya, mereka berminat menyertai persidangan atau bengkel sila layari www.socialmediaweek.com.my untuk butiran lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:21 PM