Ahmad Razif bergambar bersama Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat (dua kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang (kanan) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ahmad Razif bergambar bersama Exco Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat (dua kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang (kanan) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


LEBIH 10,000 pengunjung bakal memeriahkan penganjuran kali pertama Kejohanan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 pada 23 hingga 26 November ini.

Kejohanan yang diadakan di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, Terengganu itu akan menghimpunkan lebih 300 pelayar professional dan amatur dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya mahu melaksanakan kejohanan kapal layar mengikut acuan negeri berkenaan sekali gus dijadikan sebagai salah satu acara tahunan.

"Sudah pasti kejohanan ini tidak sama seperti perlumbaan kapal layar Piala Monsun kerana ia tidak membabitkan kelab profesional dunia.

"Penganjuran kejohanan ini adalah satu usaha untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjadikan sukan kapal layar sebagai satu cabang pelaburan industri pelancongan baru di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan Kejohanan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kejohanan anjuran kerajaan negeri itu turut bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Terengganu.

"Perlumbaan kali ini membabitkan lima acara yang akan dipertandingkan dibawah tujuh kategori dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM60,000.

"Sebanyak 13 negeri akan menyertai pertandingan ini termasuk wakil dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) selain peserta luar negara dari Thailand; Singapura; Indonesia; Jepun dan Malaysia (Pasukan Kebangsaan)," katanya.

Ahmad Razif berkata, penganjuran kejohanan itu juga mampu menjadi perangsang serta memacu aktiviti ekonomi perniagaan bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan usahawan tempatan.

"Malah, ia mampu menjadi platform persediaan kepada pelayar untuk mara ke peringkat antarabangsa sekali gus menjadikan kejohanan ini sebagai jenama antarabangsa dalam kalendar sukan pelayaran dunia.

"Selain itu, pelbagai acara sampingan turut dilaksanakan sepanjang kejohanan itu berlangsung seperti acara mendayung statik; sepak penalti; pertandingan teka berat; tarik tali dan pertandingan mewarna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 4:40 PM