ZII Jia ambil keputusan keluar daripada BAM. FOTO Hazreen Mohamad
ZII Jia ambil keputusan keluar daripada BAM. FOTO Hazreen Mohamad
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: "Lee Zii Jia tidak melakukan apa-apa kesalahan, dia hanya mahukan satu perubahan dalam sistem," ciap seorang peminat yang kecewa dalam Twitter mengenai keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tidak akan mendaftar pemain itu bagi mana-mana kejohanan selama dua tahun bermula 18 Januari 2022.

Menurut seorang warganet Yazid @jidzakaria, permintaan Zii Jia terhadap BAM adalah mempunyai pasukan kejurulatihan sendiri dan pasukan sokongan, merancang kejohanan sendiri selain penaja sendiri.

"Takde mintak naik gaji pun. BAM counter offer pakai monetary benefit pun LZJ tolak. So decision LZJ ni adalah untuk career dia. Takkan dia kena accept je mediocrity BAM ni?," tanyanya.

Dia juga mendakwa, BAM licik apabila tidak menggunakan perkataan 'ban' atau penggantungan sebab Zii Jia tidak melanggar sebarang peraturan. Sebaliknya BAM menggunakan perkataan 'will not register' atau tidak akan mendaftar.

Zii Jia, 23, juara Seluruh England 2021 dan pemenang pingat emas Sukan Sea Manila 2019, menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lalu dan hari ini dikenakan hukuman tidak boleh beraksi pada peringkat antarabangsa selama dua tahun.

Selain Zii Jia, sahabat baiknya Goh Jin Wei turut dikenakan hukuman sama tetapi bermula pada 31 Oktober 2021, beberapa minggu selepas dia meletakkan jawatan atas alasan masalah kesihatan pada 11 September.

Seorang peminat Akmal Arsat @MabmaRawan berkata, keputusan Zii Jia untuk menjadi pemain bebas bukan satu jenayah dan BAM tidak patut menghalangnya daripada beraksi selama dua tahun.

"Bakat yang dibazirkan. Kerana ego dan keangkuhan BAM itulah sebabnya badminton kita semakin menurun. LZJ berhak mendapat yang lebih baik. Rombak BAM," katanya.

Giarc Nibisna @craigansibin turut berasakan permintaan Zii Jia kepada BAM berbaloi.

"Dia bukan minta banyak pun... kalau dia minta lebih pun, ia adil. Dia kini pemain nombor satu Malaysia dan ranking ketujuh dunia," ciapnya.

Ada juga warganet yang membandingkan kes Zii Jia dengan bekas pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.

"Saya peminat tegar Kento Momota tapi ingat tak kejadian perjudian? Dia digantung selama satu tahun. Sebagai perbandingan, apa yang Lee Zii Jia mahukan ialah berhenti daripada BAM. Dia tidak melakukan kesalahan undang-undang tapi apa yang dia dapat? Dua tahun digantung, masuk akal le sikit BAM," ciap BL Paree @BL2421.

Seorang peminat dari Indonesia dikenali sebagai Bayu Arisandy @bayuarisandee seolah-olah memberi sindiran sinis terhadap BAM susulan keputusan mereka hari ini. "Tahniah @BA_Malaysia kerana membuat keputusan yang sangat teruk terhadap pemain nombor satu anda, Lee Zii Jia."

"Ini Lee Zii Jia, pemain badminton Malaysia dan kini nombor satu di negaranya. Anak muda berbakat dengan banyak impian tapi hampir hilang semuanya kerana keangkuhan @BA_Malaysia," ciapnya sambil memuat naik sekeping gambar pemain berasal dari Kedah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:45 PM