Jia Lee Zii
Jia Lee Zii
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Selepas empat hari dan hampir mencecah 96 jam, kemelut membabitkan pemain badminton ranking ketujuh dunia Lee Zii Jia dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat sudah berakhir.

Pemain berusia 23 tahun yang juga penyandang juara Seluruh England itu dibenarkan bergerak secara profesional sekali gus BAM dijangka mengumumkan menarik balik keputusan mereka tidak mahu mendaftarkan pemain itu bagi mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun sejak 18 Januari lalu.

Sejak Jumaat lalu apabila BAM memutuskan untuk menghukum Zii Jia dan bekas juara remaja dunia dua kali Goh Jin Wei yang turut terpalit dengan hukuman sama tetapi berkuat kuasa 31 Oktober lalu, media sosial dipenuhi dengan pelbagai komen menghentam badan induk itu terutama daripada kalangan peminat dan penyokong kedua-dua pemain.

Bukan setakat warganet, sokongan lebih 30 pemain badminton antarabangsa dari Eropah, Amerika Selatan, Asia dan Oceania turut menghangatkan suasana hinggalah BAM mengendurkannya apabila presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilaporkan memberi restu kepada Zii Jia untuk bergerak secara profesional sekali gus menyelesaikan kemelut itu semalam.

Keputusan itu sudah pasti diterima penuh gembira oleh peminat Zii Jia, yang meraih pingat emas acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Sea Manila 2019.

"Ini satu berita yang bagus... saya fikir tekanan dunia berkesan terhadap BAM," ciap @joyyyyjass di laman Twitter.T-Rex @shwns_ pula berkata, jangan lupakan sumbangan 'suara' pemain lain dari seluruh dunia yang memperjuangkan hak Zii Jia dan Jin Wei bagi membolehkan mereka bergerak secara profesional.

"Jika mereka tidak bercakap, kemungkinan besar kita tidak akan melihat mereka di gelanggang. Kepada Lee Zii Jia, saya doakan yang terbaik bagi masa depan anda dan kepada Jin Wei, harapnya semua baik-baik belaka buat anda," ciapnya.

Fz Adlan @faizadlan37 pula memberi komen: "Lee Zii Jia kini pemain nombor satu Malaysia dan ranking ketujuh dunia. Ia keputusan yang bagus oleh @BA_Malaysia membenarkannya beraksi sebagai pemain profesional. Kita mungkin terpaksa menunggu lama untuk bergantung kepada Ng Tze Yong, Leong Jung Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin. Situasi menang-menang bagi isu LZJ lawan BAM."

Warganet Giarc Nibisna @craigansibin menyatakan kerana isu itu, janganlah hingga tidak memberikan sokongan kepada pemain BAM.

"Yang ada isu adalah Majlis BAM bukan pemain. Terus sokong mereka ya.

"Peminat dari Indonesia turut gembira dengan perkembangan terkini dan ramai yang berkata: "Nah gitu dong BAM."Apel @shayyll2 berkata: "Alhamdulillah udah ada jalan tengahnya. Semoga lancar karirnya Jia. Sukses dan sehat selalu oi. Kenapa nunggu viral dulu si BAM," diiringi dengan emoji ketawa berdekah-dekah.

Warganet mohd iszie @mohdiszie menyatakan "netizen sahaja yang melebih-lebih" namun dijawab @ceqnooooooooo "kalau tak lebih-lebih, BAM terus buli atlet dia. The power of voices!!"

Kempen petisyen 'Jangan Gantung Lee Zii Jia & Goh Jin Wei' anjuran Malaysia Badminton Lovers di laman Twitter juga seolah-olah sudah berakhir susulan situasi terkini apabila 123,129 menandatanganinya dengan yang terakhir melakukannya enam jam lalu.

Kempen itu juga seolah-olah ditutup dengan tajuk 'Lee Zii Jia setuju sertai Kejohanan Berpasukan Asia'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 4:40 PM