ZII Jia bertungkus lumus sehingga tersembam dalam satu kejohanan.
ZII Jia bertungkus lumus sehingga tersembam dalam satu kejohanan.
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Tabik buat seorang peminat badminton dari Indonesia dikenali sebagai Bayu Arisandy @bayuarisandee di laman Twitter yang menyokong Lee Zii Jia selepas pemain itu dikenakan hukuman tidak didaftar oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun susulan keputusannya untuk bergerak secara profesional.

Walaupun dia menjadi mangsa kritikan sinis warga senegaranya, Bayu tetap meneruskan usahanya membuat ciapan mengenai Zii Jia di laman sosial hingga pemain ranking ketujuh dunia itu benar-benar mendapat keadilan.

"Saya bosan dengan orang yang berkata "bukan negara kita, gak usah diurusin" seperti apa? Kalau anda tidak suka saya pergi jauh-jauh. Saya suka ciap mengenai Lee Zii Jia sampai dia benar-benar mendapat keadilan. KEADILAN UNTUK LEE ZII JIA!!," tulisnya.

Perkongsiannya itu mendapat reaksi positif daripada beberapa peminat Malaysia.

"Ada perkara yang patut kita sokong antara satu sama lain tanpa sempadan. Terima kasih dari Malaysia ke Indonesia," tulis @sarcasminister dalam ruangan komen manakala Angel Baby @_g0ngjunim berkata: "Terima kasih sebab tweet pasal LZJ sekalipun anda bukan warganegara Malaysia tapi kita serumpun."

Jumie @Jumie_Nasir pula berkata, jika perkara sama berlaku terhadap pemain Indonesia, dia percaya reaksi di Malaysia juga sama seperti dilakukan Bayu dan penyokongnya.

Warganet Indonesia, Nurmalytaa @Talytaa25 turut menyokong perkongsian Bayu dan berkata: "Kita bela Lee Zii Jia, itu karena kita cinta sama badminton. Bukan cuman karena pemainnya dari negara kita cintai."

Seorang lagi peminat pemBantu kompleks sebelah @ertantomi menyatakan juara Seluruh England 2021 itu sebenarnya seorang daripada ramai yang menjadi mangsa peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Lee Zii Jia sebenernya satu dari beberapa korban peraturan @bwfmedia yang gak mau full professional. Simplenya, peraturan yang BWF bikin untuk pendaftaran pemain wajib menerusi persatuan yang harus kita ubah. Once itu bisa diubah, gak akan ada lagi Lee Zii Jia, Cai Yun, Ko Sung Hyun dan lain-lain."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 12:40 PM