Beregu badminton lelaki negara Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik  bersama pingat gangsa yang dimenangi di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Beregu badminton lelaki negara Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik bersama pingat gangsa yang dimenangi di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Kejayaan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakhiri kemarau pingat buat negara seterusnya menghadiahkan pingat gangsa pertama kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo, menarik perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada gandingan negara serta barisan kejurulatihan kem badminton.

Pencapaian pasangan beregu itu mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.

"Tahniah Malaysia! Syabas Aaron Chia-Soh Wooi Yik! Kemenangan dan sumbangan pingat yang amat diharap serta dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan tanah air.

"Buat pasangan muda kita ini, teruskan usaha dan berjuanglah demi negara. Anda telah membuktikan yang negara boleh menaruh harapan kepada anda. Tahniah, anda kebanggaan Malaysia! Demi Malaysia! Demi Malaysia! Demi Malaysia!," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 10:48 PM