WOOI Yik (kiri) dan Aaron dikurniakan pingat bintang Kesatria Mahkota Wilayah (KMW). FOTO BAM
WOOI Yik (kiri) dan Aaron dikurniakan pingat bintang Kesatria Mahkota Wilayah (KMW). FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu membolehkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat pengiktirafan di Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun 2022.

Perkara berkenaan dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di akaun rasmi Facebook sebentar tadi sambil mengucapkan tahniah kepada pasangan berkenaan. "Tahniah kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dikurniakan pingat bintang Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) pada sesi istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun 2022," jelas BAM.

Turut memberi ucapan tahniah kepada pasangan nombor tujuh dunia itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di akaun Facebook miliknya. "Tahniah kepada atlet badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang dikurniakan pingat Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) pada sesi istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

"Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada atlet-atlet yang lain untuk terus berjuang mengharumkan nama negara," kata Ahmad Faizal.

Turut dikurniakan pingat ialah Datuk Leong Mun Yee, bekas penerjun negara dan Datuk Latif Romly, atlet para negara yang menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk, manakala Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerima pingat Johan Mahkota Wilayah (JMW).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:11 PM