FLANDY (dua kiri) meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik. FOTO BAM
FLANDY (dua kiri) meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejayaan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa adalah 'hadiah' terbaik buat ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele sepanjang setahun berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Flandy berkata, kejayaan terbabit memberi pengertian yang bermakna buat dirinya untuk terus memberikan khidmat dalam melahirkan pasangan beregu terbaik buat Malaysia.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan, semangat dan kerjasama hingga mampu mencipta kejayaan di Olimpik Tokyo.

"Ini hadiah untuk perayaan saya setahun bersama badminton Malaysia. Terima kasih atas kepercayaan, keras keras, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.

"Akhirnya, ujian saya yang terakhir sudah selesai dan sangat bersyukur terhadap keputusan yang dicapai beregu lelaki negara.

"Saya sangat berbangga dengan keputusan yang dicapai Aaron-Wooi Yik. Cukup berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan badminton Malaysia," katanya.

Ketika melalui saingan kalah mati, Aaron-Wooi Yik mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo buat kali pertama dalam lapan pertemuan di suku akhir.

Bagaimanapun, mereka terlepas tiket ke final selepas tewas di tangan beregu China, Liu Jun Hui-Liu Yu Chen di separuh akhir.

Pada penentuan pingat gangsa, Aaron-Wooi Yik mengejutkan bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan sekali gus menebus kekecewaan tewas di tangan lawan berkenaan ketika aksi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:48 PM