ISMAIL Sabri berkata kejayaan Aaron-Wooi Yik adalah satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara. FOTO Ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL Sabri berkata kejayaan Aaron-Wooi Yik adalah satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara. FOTO Ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejayaan Pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul emas pada Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Tokyo cukup bermakna buat Malaysia sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu negara itu selepas berjaya menamatkan penantian 45 tahun negara bergelar juara di kejohanan dunia itu.

"Satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara.

"Tahniah Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kerana kerana muncul sebagai pemain badminton negara yang pertama memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2022.

"Ini adalah hadiah yang cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022," katanya, menerusi kenyataan di Facebook.

Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau gelaran juara pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 terbabit sejak digandingkan pada 2017.

Mengikut rekod, kali terakhir beregu lelaki negara mara ke final kejohanan dunia adalah pada edisi 2010 di Paris yang menyaksikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas kepada Cai Yun-Fu Haifeng dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 5:13 PM