Aida Adilah Mat


MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis bahawa penganjuran sukan permotoran yang diadakan secara berprestij di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan kembali dalam waktu terdekat ini.

Tegas Reezal, beliau akan membawa perkara itu pada mesyuarat menteri-menteri pada 9 Julai ini untuk membenarkan beberapa sektor sukan yang lain kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi lawatan ke SIC untuk melihat persediaan mereka melangsungkan acara sukan permotoran (Non-Contact Sports) dari segi tatacara pematuhan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Pada waktu ini saya nak sukan permotoran yang mempunyai peminat yang ramai dapat dianjurkan terlebih dahulu.

"Banyak dah aktiviti sudah di buka. Pastinya sukan permotoran diharapkan dapat dimulakan dalam masa terdekat ini.

"Saya juga akan bawa untuk sukan non contact yang lain selain memohon permulaan latihan yang membabitkan sentuhan seperti bola sepak, sepak takraw, bola keranjang kerana kita dapat lihat keyakinan yang terbina di negara kita apabila menyaksikan penurunan ketara dalam kes covid," katanya.

Reezal Merican (dua kiri) merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-193. FOTO Bernama
Reezal Merican (dua kiri) merasmikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-193. FOTO Bernama

Bagaimanapun, Reezal enggan mengulas lanjut berhubung dengan penganjuran Kejohanan MotoGP Dunia 2020 kerana ia membabitkan banyak pihak dalam urusan keluar masuk ke dalam negara.

"Ketika ini apa yang penting adalah penganjuran sukan permotoran dapat dimulakan. Kita akan lihat perkara ini dari satu tahap ke satu tahap.

"Untuk MotoGP ia babitkan border control (kawalan sempadan). Ia bukan di bawah saya. Ia merangkumi kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri, imigresen, MKN jadi pada waktu ini saya nak minta dibenarkan dulu penganjuran domestik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:05 PM