Graham Arnold (kiri) bersama pembantunya pada sesi latihan pasukan Australia baru-baru ini. FOTO File Agensi.
Graham Arnold (kiri) bersama pembantunya pada sesi latihan pasukan Australia baru-baru ini. FOTO File Agensi.
Reuters

AUSTRALIA tidak mahu penyertaan sebagai pasukan jemputan dalam Kejohanan Bola Sepak Copa America tahun depan sebagai pelengkap kumpulan.

Sebaliknya mahu melakukan kejutan dengan menewaskan tuan rumah bersama Argentina untuk mengintai peluang layak ke peringkat suku akhir kejohanan kata jurulatihnya, Graham Arnold.

Australia yang akan membuat penampilan pertama dalam kejohanan membabitkan rantau Amerika Selatan sebagai dua daripada pasukan jemputan berada dalam Kumpulan A menerusi undian hari ini bersama Argentina, Paraguay, Uruguay, Bolivia dan Chile.

The Socceroos yang berada di ranking ke 42 FIFA, tersingkir di peringkat kumpulan dalam tiga Piala Dunia terakhir mereka dan gagal mempertahan kejuaraan Piala Asia di peringkat suku akhir pada Januari namun Arnold tetap meletakkan sasaran tinggi di Copa America.

“Kami mengetahui kekuatan barisan bintang Argentina. Sebagai jurulatih pasukan semestinya saya mahu menerap mentaliti kemenangan dengan memenangi perlawanan.

“Dan tiada yang berbeza... kenapa kita tidak boleh beraksi baik dan mengejutkan dunia seterusnya menewaskan lawan di negara mereka sendiri?

Ia adalah tujuannya dan jangkaan itu.” katanya dalam satu temubual menerusi panggilan telefon bersama media selepas undian berkenaan.

Australia antara dua pasukan jemputan disamping tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar antara 12 pasukan yang bertanding pada kejohanan berlangsung pada 12 Jun hingga 12 Julai depan.

Australia kali terakhir bertemu Argentina di Olimpik Beijing 2008 di mana skuad dikendalikan Arnold itu tewas 0-1 menerusi jaringan Lionel Messi - yang turut menjadi inspirasi di peringkat kumpulan bagi pasukan juara itu.

Australia tewas dalam perlawanan persahabatan berdepan Argentina, 0-1 pada 2007 di hadapan 70,000 penyokong di Gelanggang Melbourne Cricket dan tewas 2-4 kepada pasukan Amerika Selatan itu dalam saingan Piala Konfederasi pada 2005.

Australia turut melakar sejarah sendiri apabila mengejutkan Argentina 4-1 di gelanggang sendiri dalam kejohanan julung kali diadakan pada 1988 meraikan ulang tahun penubuhan negara itu.

Mereka turut memaksa Argentina yang diketuai Diego Maradona dalam aksi kelayakan bagi Piala Dunia 1994 sebelum tewas 1-2 menerusi agregat.

“Kami pergi ke sana dengan harapan yang baik dan rekod yang baik berdepan lawan serta menantikan peluang menentang mereka,” tambah Arnold.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 1:40 PM